Tanda itu Jodoh Kita
1. Gunakan Seluruh Pancaindera
Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Tuhan yang Maha Esa.
Tetapi bagaimana kita hendak mengetahu Si Dia memang ditakdirkan untuk
kita?
Tuhan mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk
melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi
mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa
mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan
emosi, spiritual dan fizikal antara keduanya.
Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan
saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan,
dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama.
2. Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak
berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara
ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal
ataupun kelihatan pelik.
Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang
berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesanyang dia sedang berlakon.
Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia
adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh
kita.
3. Senang Bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan
bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang
kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat
kedukaan kita.
Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila
berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasaingin berjumpa dengannya.
Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.
4. Terima Kita Seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli.
Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita
yang mulakan.
Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting,
siapa kita sekarang. Biarpun dia tahuyang kita pernah mempunyai kekasih
sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah
miliknya kini.
Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.
5. Sentiasa Jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi
hukum-hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita.
Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki
sesuatu apabila dia menipu kita.
Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik
kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi
suatu hubungan.
Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku
curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan
cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan
percintaanyang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.
6. Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung.
Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah
rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat
saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati
nurani mereka.
Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada
kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak
berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti
cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah
individu yang memperoleh kedua-duanya.
7. Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka
masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup
ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara
sama ada perkara remeh ataupun sukar.
Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan
dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan
dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama.
Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang
lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia
mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan.
Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita
yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini
menyusahkan?
8. Memahami Diri Kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya.
Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi
penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di
kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar.
Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita.
Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata
orang, ‘lidah sendiri lagikan tergigit, inikan pula suami isteri’.
Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih.
Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan
duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi
pasangan hidup kita.
9. Tampilkan Kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut.
Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu.
Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu
menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita.
Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di
hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya
kepada kita.
Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua
hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya. Apabila kita dan
dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang
ditakdirkan kita hidup bersamanya.
10. Kata Hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Tuhan deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya.
Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan
masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama
lain dan dapat menduga reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu.
Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi.
Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah
pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan